Tajuk:
PENGURUSAN KEBERSIHAN MASJID
Oleh:
Abd Aziz bin Harjin
Tarikh:
28 Julai 2009
Universiti Teknologi MARA Perlis
Pengenalan
Masjid merupakah contoh kebersihan bagi masyarakat muslim setempat. Masjid yang tidak bersih akan menyebabkan solat menjadi rosak terutamanya yang melibatkan najis. Namun begitu walaupun tidak ada najis yang tertentu tetapi kekotoran lain juga dilarang seperti ludah atau kahak dianggap mencemarkan masjid. Perkara lain yang mencemarkan masjid termasuklah sawang, sampah, sisa makanan, debu dan sebagainya. Semua perkara ini telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya sentiasa menjaga masjid daripada sebarang najis dan kekotoran.
Pengertian
Dari segi bahasa kebersihan bererti keadaan tidak kotor, tidak cemar, keadaan suci dan menyebabkan persekitaran menjedi selesa. (Baharom, 2002)
Dari segi istilah kebersihan ertinya bersih dari sebarang najis menitkut hukum syarak dan menghidari dari keadaan tercemar dan tidak selesa.
Kebersihan masjid bermaksud menjaga masjid dari sebarang kekotoran najis dan cemar di semua kawasan termasuklah kawasan solat, kaki lima, ruang legar, tempat mengambil wuduk, tandas, ruang bersantai dan tempat meletak kenderaan.
Kebersihan Masjid
Islam mewajibkan supaya menjaga kebersihan dalam semua keadaan merangkumi kebersihan hati, diri, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Di dalam al Quran Allah s.w.t. meletakkan kebersihan sama dengan takwa seperti firmanNya:
Terjemahan: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.(Al Baqarah: 222).
Petugas
Petugas yang menjalankan kerja-kerja mencuci hendaklah yang mempunyai kemampuan yang sesuai. Kadang-kadang faktor usia menyebabkan tidak nampak najis dengan jelas. Perlu diambil perhatian mereka yang bekerja mencuci masjid ini mempunyai penglihatan yang baik supaya najis dapat dibersihkan dengan sempurna. Maka dicadangkan agar pihak masjid atau dermawan tertentu mengambil tindakan mengupah atau menyerahkan urusan kontrak membersih ini kepada pihak yang ada kepakaran.
Tandas
Tempat yang dituju sebelum melangkah masuk ke dalam masjid ialah tandas. Kebiasaannya terdapat tanda untuk lelaki dan tandas untuk wanita. Kebersihan adalah bermula dari tandas. Najis dari tandas akan dapat mencemarkan seluruh masjid. Oleh itu membersihkan tandas adalah sangat-sangat dituntut.
Kita sering melihat tandas lelaki boleh dikatakan terurus berbanding dengan tandas wanita kerana tiadanya tukang cuci wantita. Kebiasaannya tukang cuci lelaki hanya bertugas mencuci tandas lelaki sementara tandas wanita agak terbiar. Ramai daripada kalangan wanita yang merungut keadaan tandas wanita yang tidak ada air dan sering tersumbat. Oleh itu dicadangan supaya tukang cuci wanita juga patut diadakan di masjid-masjid demi menjagi kebersihan tandas wanita khususnya.
Tempad wuduk
Boleh dikatakan setiap masjid disediakan tampat wuduk lelaki dan wanita. Di sesetengah masjid atau surau disediakan kolah untuk mengambil wuduk. Apa yang berlaku para jamaah kurang pandai menggunakan kolah menyebabkan mereka meludah dan berkumur-kumur serta meluahkan kumuran itu ke dalam kolah menyebabkan tercemar. Penggunaan kolah kurang mendapat perhatian sebaliknya ramai lebih gemar menggunakan pili.
Untuk mengikut sunnah nabi dan mengelakkan daripada berlaku pembaziran air maka pihak masjid perlu memikirkan supaya air yang keluar dari pili itu dihadkan.
Sewajarnya juga untuk tujuan kebersihan ini pihak masjid menyediakan pencuci tangan yang dilekatkan di dinding tempat berwuduk kerana ramai dari kalangan jamaah yang datang memerlukan sabun atau pencuci berkenaan.
Selipar atau terompah kayu wajar juga disediakan untuk mengelak daripada terpijak kotoran yang berada di kawasan wuduk.
Di kawasan wuduk juga harus disediakan pengelap kaki yang sesuai untuk mengelak daripada terpijak suatu yang cemar dan untuk mengelak daripada lincin lantai tempat wuduk berkenaan.
Laluan
Laluan antara tempat mengambil wuduk dengan tangga masjid perlu diberi perhatian serius kerana di sinilah terdapat longgokan najis sama ada najis yang dibawa oleh ahli jamaah dari rumah atau najis binatang yang sedia ada.
Terdapat banyak masjid yang menyediakan selipar atau trompah atau kasut kayu untuk kegunaan ahli jamaah tetapi sering kali selipar atau kasut kayu yang disediakan oleh pihak masjid hilang atau rosak atau diambil oleh ahli jamaah yang kehilangan kasut mereka.
Untuk mengatasi laluan yang najis dan tercemar ini beberapa masjid telah mengambil tindakan memasang pili dilekatkan di dinding masjid. Para ahli jamaah hanya perlu menanggalkan kasut mereka dan terus menggambil wuduk dan melangkah masuk ke dalam masjid. Inilah suatu cara yang paling baik kerana pili yang berada berhampiran tangga masjid akan sentiasa dapat digunakan untuk membasuk sebarang najis dan pencemaran.
Namun begitu alangkah baik jika disediakan tempat wuduk yang khas, yang beratap dan mempunyai laluan tetap serta berpagar dari sebarang gangguan dan pencemaran binagan peliharaan. Serta disediakan pegelap kaki mengelak daripada lincin lantai yang boleh menyebabkan ahli jamaah terjatuh dan boleh mengundang kecederaan.
Ruang solat
Kebiasaannya apabila kita melangkah masuk ke dalam ruang solat kita sering melihat najis cicak atau najis burung yang biasanya memenuhi bahagian pintu masuk ke dalam masjid. Jika masjid di kawasan kampung kita akan dapati najis binatang peliharaan seperti lembu, ayam dan itik memenuhi di bahagian pintu masuk ke dalam masjid. Inilah fenomena yang sering kita lihat di mana-mana masjid. Maka pihak tukang cuci perlu memberi perhatian serius najis di pintu masuk ruang solat. Jika tidak diberi perhatian maka ahli jamaah akan memijaknya dan membawa terus ke dalam saf-saf solat yang menyebabkan solat jamah lain akan menjadi batal kerana najis ini.
Perlu juga diperhatikan pada saf pertama ataupun saf yang sering didirikan solat lima waktu secara berjamaah. Kebiasaanya saf inilah yang banyak unsur-unsur najis dan tercemar kerana najis yang terlekat di kaki ahli jamaah akan dilonggokkan di sini. Oleh kerana itu tumpuan kebersihan pertu diutamakan di kawasan ini.
Ruang tetamu
Terdapat beberapa buah masjid atau surau yang menyediakan ruang tetamu. Ruang ini disediakan kerana pada waktu biasa masjid dikunci untuk mengelak daripada berlaku kecuraian. Maka pihak masjid bermurah hati menyediakan ruang tetamu yang disediakan tikar, sejadah, kain, songkok, telekong, rak buku dan ampaian.
Kadang-kadang ruang yang disediakan ini tidak digunakan dengan baik oleh ahli jamaah. Pencemaran dengan habu rokok, sisa makanan dan sampah yang menyebabkan persekitaran tidak terurus. Walau bagaimanapun suasana ini adalah suatu ujian yang perlu dihadpi dan sabar.
Namun begitu peralatan yang disediakan untuk tetamu perlulah dibersihkan supaya tetamu dapat menggunakan dengan rasa selesa kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menjelaskan bahawa tidak beriman seseorang kamu hingaan mereka mengasihi tetamu mereka.
Hamparan
Boleh dikatakan di semua masjid disediakan hamparan. Antaranya permaidani, tikar, sejadah dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah kemudahan untuk para jammah supaya selesa mengerjakan ibadah solat.
Masalah yang dihadapi ialah alas ini sentiasa berhadapan dengan najis dan kekotoran. Karpet sering didapati najis cicak dan burung di merata-rata tempat. Tambahan pula tukang cuci masjid adalah mereka yang sudah lanjut usia yang jarak penglihatan juga terhad oleh itu najis ini tidak dapat dibuang secara teliti.
Selain dari itu walaupun sejadah yang digunakan oleh pra imam kini tidak termasuk dalam sunnah nabi namun kebersihan sejadah itu patut diberi perhatian. Sejadah yang digunakan oleh imam kebanyakannya khususnya di bahagian sujud telah bertukar warna dan baunya juga tidak menyenangkan. Oleh itu perlu ada mesin basuh disediakan di setiap masjid untuk memudahkan sejadah dan pakaian-pakaian lain di basuh.
Pakaian
Demi memudahkan para jamaah menunaikan solat maka pihak masjid ada menyediakan kain sarong dan songkok. Untuk jamaah wanita disediakan kain telekong dan sejadah di bahagian wanita.
Apa yang menjadi masalah ialah wanita sering menyalahgunakan kemudahan yang disediakan antaranya tidak menyimpan dengan baik telekong yang digunakan. Ada dalam kalangan mereka yang menggunakan ruang solat untuk tidur dan makan dalam masjid yang menyebabkan ruang menjadi sesak dan kotor.
Untuk mengatasi masalah ini ada masjid yang membuang tirai penghandang antara jamaah lelaki dan wanita maka wanita sentiasa berasa mereka diperhatikan oleh itu mereka menggunakan kemudahan itu dengan cara baik dan menyusun telekong dengan baik.
Mimbar
Setiap masjid mempunyai mimbar tersendiri. Mimbar yang tersergam indah dilihat dari bawah. Ketika khatib membaca khutbah dengan gagah memegang tongkat. Cuba anda naik ke atas dan lihat apakah yang anda nampak. Di sana penuh dengan sarang labah-labah dan najis cicak serta buku-buku atau nota khutbah yang berdebu dan berhabok. Untuk menjamin keselesaan berkhutbah dan menjaga kebersihan maka pihak cleaner patut juga memberi perhatian kebersihan di atas mimbar ini.
Kini di beberapa buah masjid sudah cuba membuat perubahan ke atas mimbar iaitu merendah mimbar kepada tiga anak tangga untuk mengikut sunnah nabi s.a.w. Jika mimbar direndahkan maka masalah kebersihan dapat dipantau dengan mudah berbanding dengan mimbar yang tinggi sukar untuk menaikinya.
Rak buku

Terdapat beberapa buah masjid dilengkapi dengan perpustakaan tetapi kebanyakan masjid mempunyai rak buku yang dimuatkan dengan naskah al Quran, buku-buku agama dan nota-nota agama.
Apa yang menjadi masalah ialah bahan bacaan yang tidak disusun dengan rapi. Tambahan pula dalam rak buku itu dipenuhi dengan sawang dan najis cicak. Menyebabkan ahli jamaah tidak berminat untuk membaca. Jika dipandang dari jauh menampakkan ahli jamaah kurang berminat kepada ilmu kerana seolah-oleh bahan bacaan itu tidak sisentuh langsung.
Oleh itu untuk mengatasi masalah ini perlu pihak masjid sering mengadakan gotong royong yang berkala untuk menyusun bahan-bahan bacaan dan seterusnya mencuci rak-rak buku itu dari masa ke masa.
Pihak masji juga boleh menggunakan wang masjid untuk membuat sedikit jamuan kepada kanak-kanak sekoleh rendah untuk ajak mereka cintai masjid dengan mengadakan program menyusun bahan-bahan bacaan dan menyusun kain, sejadah dan sebagainya dalam masjid untuk mendekatkan diri mereka dengan masjid seterusnya sedikit jamuan disediakan untuk mereka.
Water cooler
Terdapat beberapa buah masjid yang telah menyediakan water cooler untuk kemudahan ahli jamaah untuk menghilangkan rasa haus dahaga.
Dari sudut kebersihan kita sering dapati filter atau penapis air telah lama dan tidak dipantau menyebabkan ahli jamaah meminum air tercemar. Selain itu pihak masjid yang menyediakan water cooler juga perlu menyediakan cawang yang bersih dan mencukupi untuk keselesaan tetamu untuk minum.
Bila memperkatakan pasal water cooler ini alangkah baiknya setiap masjid memikirkan diadakan water shop untuk setiap masjid. Keuntungan jualan itu boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid.
Persekitaran
Persekitaran masjid termasuklah dari pintu pagar, ruang parking kereta, tandas, ruang mengambil wuduk, anjung, balai lentang, rumah mandi mayat, kaki lima masjid dan seluruh apa yang ada dalam pagar masjid.
Kita sering melihat di ruang memasak yang tidak terurus. Periuk belanga yang tidak tersusun, barang-barang berselerak, ruang yang bersawang dan berhabuk. Keadaan ini menjadikan kawasan masjid tidak terurus.
Untuk mengatasi perkara ini perlu diadakan gotong royong membersihkan kawasan yang tercemar dan tidak terurus ini.
Untuk pengetahuan pihak masjid sebenarnya sekolah, jabatan dan NGO di luar sana ingin memberi khidmat secara percuma. Alangkah baiknya jika pihak masjid memohon khidmat gotong royong mereka membersih dan menyusun barang-barang masjid. Sekurang-kurangnya mendekatkan diri mereka kepada masjid.
Kesimpulan
Secara ringkasnya masjid merupakan rumah Allah s.w.t. perlu diberi perhatian lebih terutamanya dalam menjaga kebersihan demi menjamin sahnya ibadah seseorang. Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama sentiasa memastikan masjid berada dalam keadaan bersih. Tugas membersihkan masjid bukan tertentu kepada seseorang sahaja malah tugas membersih masjid ini adalah tugas semua orang. Jika kita mendapti najis maka kita patut membuangnya tanpa mengharap orang lain membuangnya. Sesuatu kebaikan yang dilakukan pasti mendapat ganjarannya seperti firman Allah s.w.t.
Terjemahan: maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(Al Zalzalah: 7-8).
Sekian
Wassalam
Bibliography
Al-Bukhari, I. (1981). Sahih al-Bukhari (Vols. 1 - 4). (H. Z. al, Trans.) Jakarta: Penerbit Widjaya.
Baharom, N. b. (2002). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Junaidi, M. (1995). Keutamaan Adab dan Amalan di Masjid. Selangor: Pustaka Ilmi, Batu Caves.
Mokhtar, S. A. (1997). Peranan Masjid Dalam Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Naisabury, A. H.-Q. (1994). Sahih Muslim. (K. A. Musthofa, Trans.) Kuala Lumpur: Victory Agencie.
Nor, M. F. (1992). Mengingkari Masjid. Alor Star: Kalam Ilham.
Quran, A. (1996). Tafsir Pimpinan al Rahman Kepada Pengertian al Quran 30 Juzuk. (S. A. Basmih, Trans.) Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Islam.
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206,
011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com